Bola Sepak

Marseille tekan PSG

Oleh AFP

Nîmes: Marseille mencatat kemenangan 2-0 di tempat lawan di Nimes bagi membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua Ligue 1 dan masih mempunyai baki satu perlawanan berbanding seteru terdekat mereka.

Paris Saint-Germain (PSG) berada di tangga teratas dengan mengumpul 25 mata, manakala Marseille kurang satu mata dan empat lagi kelab, Lille, Lyon, Monaco dan Motpellier kesemuanya memungut 23 mata.

Selepas kalah dan seri dalam dua perlawanan terakhir, PSG berdepan kemungkinan terlepas kedudukan teratas apabila berkunjung ke tempat lawan, Montpellier awal pagi esok, manakala Lille dan Monaco berdepan sesama sendiri esok malam.

Selepas saingan hujung minggu ini Marseille akan mempunyai baki dua perlawanan dan bakal berdepan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu depan.

"Kumpulan ini mula menunjukkan saingan kolektif. Kami sudah meraih keyakinan. Kami bakal bertemu Monaco dan Rennes selepas ini," kata jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas.

Pemain Argentina, Dario Benedetto membuka jaringan hasil kawalan bola di dada dengan baik sebelum melepaskan rembatan.

Nimes yang beraksi dengan 10 pemain dikejutkan dengan gol kedua pelawat hasil sentuhan, Valere Germain pada minit ke-84.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 11:36am
d