Bola Sepak

Sharbinee terima tawaran pasukan Liga Super, Perdana

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli percaya rezekinya masih lagi terbuka luas untuk meneruskan aksi pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu berkata, biarpun hanya semusim bersama Pahang, dia menerima keputusan skuad itu yang tidak menyambung kontraknya.

"Setakat ini, saya belum membuat keputusan untuk menyertai pasukan baharu. Tapi saya akui ada menerima tawaran dari pasukan yang beraksi di Liga Super dan Liga Perdana.

"Saya kini sedang menimbang tawaran yang diterima daripada beberapa pasukan yang beraksi di Liga M musim 2021," kata pemain berumur 34 tahun itu.

Sebelum ini, Sharbinee antara pemain yang kontrak tidak disambung oleh pengurusan Persatuan Boalsepak Negeri Pahang (PBNP) bagi mengharungi saingan Liga M musim 2021.

Berdasarkan pengalaman, Sharbinee pernah menyarung jersi Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mengulas kontrak bersama Pahang tidak dilanjutkan, dia pada awalnya tidak sangka hanya semusim bersama skuad Tok Gajah.

Bagaimanapun, dia menerima keputusan daripada PBNP yang memutuskan tidak menyambung kontrak untuk semusim lagi.

"Sebagai pemain profesional, saya akur dan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan sebaik berakhirnya kontrak pada penghujung musim," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 3:02pm
d