Bola Sepak

Tak boleh nyanyi berlebihan, berpeluk dan bersentuhan

Oleh AFP

London: Pengurusan Liga Perdana memberi amaran kepada penyokong supaya mengelak daripada menyanyi secara berlebihan dan berpelukan ketika penyokong dibenarkan kembali semula ke stadium menyaksikan perlawanan buat kali pertama sejak Mac lalu.

West Ham akan menanti kunjungan Manchester United pada perlawanan awal pagi ini dengan kehadiran penonton.

Pihak kerajaan hanya membenarkan 2,000 penyokong menyaksikan perlawanan di Stadium London.

Perlawanan antara Chelsea bertemu Leeds juga akan menyaksikan kehadiran 2,000 penonton.

Pengurusan Liga Perdana mengeluarkan notis peringatan mengenai langkah keselamatan pada hari perlawanan, termasuk meminta peminat tidak terlalu meraikan ketika pasukan mereka menjaringkan gol.

"Penyokong boleh meraikannya tetapi perlu mengekalkan jarak sosial daripada orang lain.

"Memeluk penyokong lain serta bersentuhan tangan perlu dielakkan dan penyokong diminta untuk menghormati orang di sekeliling mereka, termasuk mengelak daripada menjerit dan nyanyi terlalu kuat," kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: December 5, 2020 @ 10:10pm
d