Bola Sepak

Ini baru sikit - Lampard

Oleh AFP

London: Frank Lampard percaya akan ada pelbagai lagi aksi cemerlang bakal dipamerkan Chelsea selepas The Blues berada di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Leeds ketika 2,000 penyokong kembali ke Stamford Bridge.

Anak buah Lampard bangkit selepas Patrick Bamford membuka jaringan menentang bekas kelabnya.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah yang hadir selepas larangan akibat Covid-19 mendapat gambaran mengapa Chelsea berwajah baru ini adalah pesaing merebut gelaran juara terutama selepas ledakan gol daripada Olivier Giroud, Kurt Zouma dan Christian Pulisic membolehkan mereka kekal tanpa kalah selepas 16 perlawanan.

"Kami adalah pasukan dalam pembikinan. Apabila anda membawa masuk pemain-pemain baharu dan mempunyai pemain-pemain muda, mereka yang berhijrah ke negara baharu, kota yang berbeza, rakan sepasukan baharu, ia mengambil masa.

"Saya rasa masih ada banyak yang boleh ditingkatkan. Sama ada di musim ini kami akan mencapai kemuncaknya, saya tidak tahu.

"Ia musim yang panjang. Cabaran kami adalah kekal konsisten tetapi kami di landasan yang betul," kata Lampard.

Edouard Mendy hanya dibolosi sekali dalam enam penampilan EPL, sekali gus menyelesaikan masalah Chelsea di gawang.

Namun penjaga gol Ivory Coast itu menjadi sebahagian daripada punca Leeds mendapat jaringan awal menerusi Bamford hanya selepas empat minit.

Bekas pemain Chelsea itu meledak gol kelapannya dalam 11 perlawanan dengan menewaskan Mendy yang teragak-agak selepas hantaran Kalvin Phillips melalui celah-celah pertahanan tuan rumah.

Giroud disenaraikan dalam kesebelasan utama EPL buat pertama kali musim ini selepas meledak empat gol ke atas Sevilla dalam saingan Liga Juara-Juara Khamis lalu.

Disiarkan pada: December 6, 2020 @ 11:15am
d