Bola Sepak

Balotelli ke Monza pula

Oleh AFP

Rome: Mario Balotelli menyertai pasukan Silvio Berlusconi, Monza sehingga hujung musim ini, selepas kelab Itali Serie B itu membuat pengumuman.

Dalam satu kenyataan, Monza berkata, Balotelli menandatangani kontrak sehingga hujung Jun tapi tidak mendedahkan gaji pemain antarabangsa Itali itu.

Balotelli kembali bergabung dengan bekas bos Milan, Bersluconi dan Andriano Galliani, selepas pernah beraksi dengan kelab berkenaan pada 2013 dan 2014, selepas itu dipinjamkan dari Liverpool bagi saingan Serie A musim 2015-16.

Dia tiba di Milan pada Januari 2013 dan menjaringkan 12 gol untuk membantu 'Rossoneri' layak ke Liga Juara-Juara pada musim berikutnya.

Balotelli juga akan bergabung semula dengan bekas rakan sepasukan di Milan, Kevin Prince Boateng, yang menyertai Monza September lalu.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang menjaringkan 14 gol dalam 36 penampilan bersama Itali, beraksi bersama pasukan kelahirannya, Brescia musim lalu namun tidak dapat berbuat apa-apa untuk menghalang pasukan berkenaan daripada tersingkir ke Serie B.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 11:59am
d