Bola Sepak

Benzema bantu Real mara kelompok 16 terakhir

Oleh AFP

Madrid: Karim Benzema meledak dua gol menerusi tandukan untuk memastikan Real Madrid tempat dalam kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Moenchengladbach, pagi ini.

Kemenangan itu sedikit sebanyak mengurangkan tekanan kepada jurulatihnya, Zinedine Zidane.

Juara 13 kali, Real memulakan saingan malam itu di kedudukan ketiga, berdepan risiko untuk tidak layak daripada peringkat kumpulan buat pertama kali dalam sejarah dan turun ke saingan Liga Europa, namun mempamerkan aksi baik di Stadium Alfedo di Stefano.

Madrid menamatkan saingan sebagai juara kumpulan dengan 10 mata, mengatasi naib juara Gladbach yang memungut lapan mata sekali pun tewas, ketika Shakhtar Donetsk dan Inter Milan seri 0-0 dalam satu lagi pertembungan Kumpulan B.

"Ia adalah perlawanan yang baik buat kami," kata Benzema kepada Movistar.

"Setiap perlawanan adalah aksi final dan saya fikir jika kami sentiasa beraksi seperti apa yang kami lakukan hari ini, tiada pasukan akan mengecewakan kami.

"Ini adalah perlawanan yang sangat sukar, kami bermula dengan baik dan dengan keinginan untuk menunjukkan bahawa kami adalah yang terbaik."

"Objektif kami adalah untuk menamatkan saingan di tempat pertama dan kami melakukannya," kata Zidane dengan penuh bangga kepada Movistar.

"Kami beraksi dengan baik hari ini. Saya fikir ia adalah musim yang lengkap buat kami, dari minit pertama sehingga penamat kami melakukan dengan sangat baik."

Disiarkan pada: December 10, 2020 @ 8:28am
d