Bola Sepak

Verdon pemilik Sabah FC

Oleh Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Datuk Verdon Bahanda kini menjadi pemilik Sabah Football Club Sdn Bhd selepas beliau pemegang saham terbesar syarikat milik Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu.

Perkara itu diputuskan sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA dalam mesyuarat AMT SAFA baru-baru ini.

Menurut Verdon, beliau kini sah memiliki 70 peratus saham Sabah FC manakala SAFA yang sebelum ini pemilik penuh hanya mempunyai 30 peratus saham dalam Sabah FC.

Katanya, semua dokumen yang diperlukan sudah pun ditandatangani petang kelmarin, bagi mengesahkan hak pemilikan saham Sabah FC.

"Ini sekali gus mematuhi syarat dan peraturan penswastaan pasukan yang ditetapkan yang perlu dihantar kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 18 Disember ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sekali gus menjelaskan kedudukannya di dalam Sabah FC kepada pemain selepas selesai sesi latihan kecergasan di trek balapan, Stadium Likas, di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Verdon turut memberi jaminan bahawa kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar Sabah FC bukan untuk 'suka-suka' tetapi demi kemajuan bola sepak Sabah.

"Kehadiran saya di dalam pasukan bukanlah untuk menyusahkan tetapi sebagai pemudah cara kepada semua pemain, jurulatih serta pihak pengurusan kelab.

"Apa yang penting, kerjasama padu dalam kalangan pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan," katanya.

Tambah Verdon lagi, beliau mahu pihak pasukan jurulatih mencipta rentak sendiri iaitu cara pasukan Sabah FC bermain dan mewujudkan program jangka panjang yang bukan sahaja membabitkan pemain-pemain yang ada sekarang tetapi juga pembangunan akar umbi yang kini di bawah bidang kuasa Sabah FC.

Katanya, beliau juga bersedia menerima teguran serta terbuka kepada apa jua perbincangan sama ada membabitkan pemain, jurulatih ataupun pihak pengurusan kelab.

"Selagi terikat dengan kontrak, semua pihak perlu menghormati dan menjaga isi perjanjian kontrak berkenaan ke pengetahuan pihak luar terutama sekali di media sosial.

"Saya boleh bagi jaminan tidak akan boleh berlaku pembabitan politik, sesiapa yang cuba bermain politik dalam Sabah FC mereka berpotensi untuk tinggalkan Sabah FC.

"Apa yang penting adalah keputusan dan prestasi baik dalam setiap perlawanan Liga Super musim depan sekali gus dapat menjawab segala kritikan, kecaman dan cemuhan daripada semua pihak khususnya para penyokong," katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 6:51pm
d