Bola Sepak

Bersedia untuk cabaran lebih getir - Mourinho

Oleh AFP

London: Jose Mourinho memberi peringatan kepada anak buahnya bahawa mereka bakal berdepan ujian yang memenatkan dalam usaha untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terutama menjelang tempoh perayaan Krismas.

Tottenham Hotspur, yang berada di tangga teratas dengan perbezaan jaringan, bakal berdepan tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari sekali gus bakal menguji sama ada mereka mampu kekal menjadi pencabar kejuaraan liga atau tidak.

Mereka akan bermula dengan menentang Crystal Palace esok sebelum berdepan Liverpool, Leicester, Wolves, Fulham dan Leeds, tatkala aksi suku akhir Piala Liga bertemu Stoke juga berada di antara perlawanan berkenaan.

Mourinho terpaksa menggilirkan pemainnya ketika mereka perlu mengharungi saingan Liga Europa dan bakal melakukannya sekali lagi namun bintang seperti Harry Kane dan Son Heung Min dijangka akan diturunkan sekerap mungkin.

"Sekarang kami bakal berdepan pasukan EPL dan secara jujurnya ia lebih sukar berbanding aksi Liga Europa kerana kualiti pasukan lebih tinggi di EPL.

"Ia agak mustahil buat semua pemain untuk beraksi dalam semua perlawanan bagi tempoh singkat. Sudah tentu kami perlu penggiliran dan kami harus melakukannya namun dalam masa sama ada pemain yang sangat unik.

"Dengan sesetengah pemain unik ini walaupun secara keseluruhan skuad sudah mantap kami harus cuba memberikan peluang buat mereka seberapa lama yang boleh kerana mereka boleh hasilkan perubahan," kata Mourinho.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 11:06pm
d