Bola Sepak

Arif mahu 'terbang' ke pentas Asia

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Keinginan untuk 'terbang' ke pentas Asia mendorong bekas pemain sayap UiTM FC, Muhamad Arif Mohamed Anwar memilih Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Selain itu ramai 'ubi muda' yang diberi peluang beraksi dalam skuad yang terkenal dengan gelaran Sang Penyu itu juga antara faktor pemain kelahiran Gombak, Selangor itu memilih skuad bimbingan Nafuzi Zain sebagai destinasinya musim depan.

Bagaimanapun bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Gombak 1 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11 Shah Alam itu tidak mahu mendabik dada sebaliknya sedar persaingan untuk membarisi kesebelasan utama pasukan tetap mencabar buat semua pemain.

"Selain TFC, saya juga mendapat tawaran daripada tiga lagi pasukan Liga Super iaitu Perak, Petaling Jaya (PJ) City dan Pulau Pinang, tapi saya terpaksa menolak secara baik kerana teringin untuk beraksi di pentas Piala AFC.

"Kebanjiran pemain muda selain mereka dapat peluang beraksi dalam pasukan juga antara faktor saya memilih skuad TFC musim depan.

"Tapi saya sedar perlu bekerja lebih keras lagi untuk mendapatkan tempat dalam pasukan lebih-lebih lagi skuad itu sudah pasti menyasarkan kedudukan lebih baik dalam saingan liga dan Piala AFC," katanya.

Berdasarkan pencapaiannya sebelum ini, pemain berusia 25 tahun itu yang memulakan kariernya bersama pasukan Harimau Muda, Kuala Lumpur, PJ Rangers sebelum ke UiTM berjaya membantu pasukan The City Boys menjulang trofi Liga Perdana pada 2017.

Bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan itu juga berjaya membantu skuad The Lion Troops layak beraksi di peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini yang juga kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Lebih menarik bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu meledak gol kemenangan pasukannya menerusi jaringan akrobatik ketika menumpaskan Kelantan 3-2 bagi perebutan ke suku akhir selain mencalar reputasi pasukan TFC dalam saingan Liga Super selepas mencetak satu gol ketika pasukannya menundukkan skuad Penyu itu 2-1 musim ini.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 2:30pm
d