Bola Sepak

Heubach perkuat Gergasi Merah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Melepaskan 19 gol hanya dalam 11 aksi Liga Super musim ini nyata menuntut Selangor untuk merombak benteng pertahanan mereka dan pemain pertahanan tinggi lampai dari Jerman, Tim Heubach menjadi pilihan skuad Red Giant.

Pemilihan Heubach itu dilihat tepat dengan memiliki susuk tubuh menarik dengan ketinggian 192 sentimeter selain pengalaman yang cukup berharga apabila pernah beraksi di saingan Bundesliga Divisyen 2 menentang kelab-kelab elit di Liga Jerman.

Dia akan menggantikan tempat seorang lagi awang import, Taylor Regan yang tidak lagi bersama pasukan pada saingan musim depan.

Menurut Heubach, 32, ini adalah kemunculan pertamanya di Asia dan selepas diberitahu mengenai hasrat Selangor untuk mendapatkan khidmatnya, dia mengakui kagum dan tidak sabar untuk menyarung jersi Merah Kuning.

"Saya tidak pernah sampai ke Asia sebelum ini dan ingin mencari cabaran baru di sini sebelum pulang ke Jerman suatu hari nanti.

"Semasa saya diberitahu oleh jurulatih Michael Feichtenbeiner (Pengarah Teknikal Selangor) mengenai Selangor FC, saya sangat teruja dan menonton banyak video berkaitan pasukan Gergasi Merah di YouTube dan perlawanan siaran langsung, timbul keyakinan untuk saya bermain dengan pasukan ini," katanya.

Jelasnya lagi, selepas dihubungi oleh Feichtenbeiner, dia berkongsi mengenai pertemuannya dengan ketua jurulatih baharu Selangor FC, Karsten Neitzel.

"Saya dimaklumkan yang Neitzel bakal menjadi ketua jurulatih pasukan musim hadapan (2021) dan saya sempat bertemu beliau di Jerman pada bulan Oktober lalu, sebaik sahaja saya bersetuju untuk menyertai Gergasi Merah.

"Itu adalah pertemuan pertama kami, saya tidak pernah bekerjasama dengannya sebelum ini tetapi kami pernah menjadi lawan pada suatu ketika dahulu.

"Semasa bertemu, kami membincangkan tentang cabaran baru untuk kami berdua di Malaysia. Beliau juga sempat memberitahu saya mengenai perancangannya bersama Selangor FC dan apa yang beliau harapkan dari saya," katanya.

Untuk rekod, Heubach pernah bermain untuk Borussia M'glabach II, FC Kaiserslautern dan FSV Frankfurt di Jerman.

Kelab terakhirnya sebelum menyertai Selangor adalah Maccabi Netanya yang bermain di Ligat Ha'Al dari musim 2017-2020.

Menurut data transfermarkt.com, dia sudah membuat sebanyak 82 penampilan dan menjaringkan 5 gol untuk kelab Maccabi Netanya.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 6:01pm
d