Bola Sepak

'Chelsea bukan pencabar gelaran liga'

Oleh AFP

Liverpool: Frank Lampard menolak tanggapan skuad kendaliannya boleh memenangi Liga Perdana musim ini selepas terlepas peluang untuk kembali di puncak liga apabila tewas 0-1 kepada Everton di depan 2,000 penyokong di Goodison Park, pagi ini.

Aksi cemerlang dalam 17 perlawanan tanpa tewas selepas membelanjakan £220 juta (RM1.178 bilion) pada pasaran perpindahan menyebabkan Chelsea dilabel antara pasukan pencabar kejuaraan bersama-sama Liverpool, Tottenham dan Manchester City.

Bagaimanapun, Lampard mendakwa pasukannya masih dikira pencabar muda selepas gagal memadam kelebihan lawan berikutan penalti Gylfi Sigurdsson pada minit ke-22.

"Sebahagian orang berkata kami akan menang liga, kami ada skuad terbaik dalam liga, ia sesuatu yang gila," kata Lampard.

"Apabila anda bercakap mengenai skuad terbaik, anda harus melihat pada pasukan yang memenanginya dalam tempoh dua, tiga atau empat tahun.

"Skuad mereka penuh dengan penyerang dan sayap yang menjaringkan 30 atau 40 gol semusim, pemain tengah yang memenangi pelbagai gelaran liga di pelbagai tempat.

"Kami juga ada tetapi kami memiliki pemain muda dan sebagai sebuah pasukan, kami belum berada di situ.

"Ia pantas berlalu daripada kami yang tidak berapa bagus selepas perlawanan menentang West Brom dan Southampton kepada kami sebagai pencabar gelaran.

"Kami harus bekerja keras seperti malam ini. Ia ujian yang besar buat kami, kami tidak lulus ujian tapi akan melakukannya pada masa akan datang."

Disiarkan pada: December 13, 2020 @ 8:05am
d