Bola Sepak

Cavani didakwa bersalah

Oleh AFP

London: Bintang Manchester United, Edinson Cavani didakwa bersalah oleh Persatuan Bola Sepak (FA) England selepas memuat naik status di media sosial dalam bahasa Sepanyol yang menyinggung perasaan dalam beberapa isi kandungannya.

Penyerang Uruguay berusia 33 tahun itu memuat naik di Instagram berterima kasih kepada rakan-rakannya yang mengucapkan tahniah kepadanya ketika meledak dua gol sekali gus membantu United melakar kemenangan 3-2 ke atas Southampton bulan lalu dengan antaranya menulis perkataan Sepanyol 'negrito' yang merujuk kepada seorang lelaki kecil berkulit hitam.

Dia kemudian memadam status itu dan memohon maaf secara terbuka.

"Edinson Cavani didakwa melakukan kesalahan kerana melanggar Peraturan E3 FA, yang berkaitan dengan status di media sosial pada Khamis 29 November 2020.

"Ia bertentangan dengan Peraturan FA E3.1, iaitu komen yang disiarkan di laman Instagram pemain Manchester United FC itu menghina, kasar atau tidak wajar," kata FA dalam satu kenyataan.

Cavani mempunyai sehingga 4 Januari 2021 untuk memberi maklum balas berhubung dakwaan itu.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 11:08pm
d