Bola Sepak

Kalau ada penyokong lagi meriah - Solskjaer

Oleh AFP

London: Pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berkata persembahan yang dipamerkan anak buahnya sangat luar biasa bermula di minit pertama lagi.

"Cuba bayangkan jika terdapat 75,000 penyokong, ia sudah pasti akan terpahat dalam sejarah sebagai salah satu aksi menakjubkan menentang Leeds United," katanya kepada Sky Sports.

United melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Leeds 6-2 dalam pertemuan pertama liga membabitkan kedua-dua pasukan selepas 16 tahun.

Mereka sekarang ini mengutip 26 mata, lima mata di belakang pendahulu dan juga penyandang juara, Liverpool.

United memenangi kesemua enam perlawanan di tempat lawan musim ini namun hanya sekali saja mencatat kemenangan di laman sendiri sebelum pertemuan dengan Leeds.

Leeds dijangka bakal memberikan ancaman kepada benteng United namun Scott McTominay berjaya meledak dua gol terpantas dalam sejarah EPL, meletakkan tuan rumah mendahului 2-0 selepas tiga minit perlawanan berlangsung.

Tindakan Marcelo Bielsa untuk meneruskan corak permainan lebih terbuka memakan diri selepas mereka ketinggalan 0-4 pada minit ke-37, dengan dua lagi gol disumbat Bruno Fernandes dan Victor Lindelof.

Liam Cooper berjaya memberikan gol semangat buat Leeds pada lewat separuh masa pertama namun United kembali mengamuk selepas perlawanan bersambung.

Daniel James menjadikan kedudukan 5-1 dan Fernandes meledak gol kedua peribadi menerusi penalti sebelum Stuart Dallas mengurangkan defisit jaringan.

"Kami belum lagi berada di separuh perjalanan. Kedudukan liga bukan menjadi keutamaan kerana kami lebih mengharapkan ada peningkatan. Sekarang kami lebih bersemangat dan garang, penyokong kami memerlukan perkara itu," kata Solskjaer.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 8:48am
d