Bola Sepak

Kedah umum barisan pemain tempatan baharu

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah menamatkan penantian dalam kalangan peminat bola sepak apabila mengumumkan sebahagian pemain baharu yang bakal beraksi dalam skuad Hijau Kuning untuk musim depan semalam.

Melalui laman laman Facebook kelab bola sepak Kedah Darul Aman FC semalam, beberapa nama pemain tempatan baharu iaitu Mohd Syazwan Zainon, Syazwan Tajudin, Fairuz Zakaria, Rozaimi Abdul Rahman, Rodney Celvin, Ilham Amirullah dan Mohd Ariff Farhan Md Isa menjadi tumpuan.

Sehubungan dengan pengumuman yang dilakukan, pemain-pemain tempatan baharu dan yang dikekalkan memulakan hari pertama latihan pramusim 2021 mereka di bawah kendalian penolong jurulatih Victor Andrag di padang latihan MADA di sini.

Menurut kenyataan Penolong Jurulatih Kedah Victor Andrag, walaupun menjalani latihan hari pertama dengan hanya pemain tempatan semalam, keseluruhan pemain yang hadir mempamerkan semangat yang tinggi dalam sesi yang dijalankan.

"Kelihatan jelas selepas kita berehat selama sebulan, nampak semua pemain dalam keadaan cukup bersemangat untuk berlatih walaupun ketiadaan pemain import ketika ini dan belum penuh sebagai satu pasukan.

"Pemain tempatan kelihatan bersungguh-sungguh dalam aksi latihan sesi pertama hari ini (semalam) walaupun kita tahu tahap kecergasan masing-masing belum mencapai tahap sepenuhnya," katanya.

Victor juga berkata, beliau berharap pemain baharu Kedah dapat menyesuaikan diri secepat mungkin bagi mendapat rentak yang diperlukan dalam mengekalkan momentum kejayaan Kedah seterusnya.

"Walaupun ada perubahan dari sebuah persatuan ke sebuah kelab, kaedah pasukan dalam padang sentiasa sama, kita akan cuba lakukan usaha yang terbaik seperti sebelum ini dan berharap kejayaan boleh digapai pada musim depan." katanya.

Laman rasmi KDA FC turut melaporkan Ketua Jurulatih Aidl Sharin Sahak yang kekal membimbing skuad Hijau Kuning untuk musim depan dan disertai beberapa nama pemain yang dikekalkan untuk musim depan iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Shahril Sa'ari, Faizat Ghazli, Zulkhairi Zulkepli, Azammuddin Akil, Kipre Tchetche, Kpah Sherman.

Sementara itu difahamkan nama pemain-pemain import lain pula dijangka akan diumumkan kemudian.

Disiarkan pada: December 21, 2020 @ 1:56pm
d