Bola Sepak

Burnley terselamat dari zon penyingkiran

Oleh AFP

Burnley: Burnley kembali menemui sentuhan jaringan apabila berjaya menewaskan Wolves 2-1 sekali gus menyaksikan mereka keluar daripada zon penyingkiran.

Kurang menjaringkan gol menjadi masalah buat anak didik Sean Dyche apabila hanya meledakkan enam gol dari 12 perlawanan.

Namun gol daripada Ashley Barnes dan Chris Wood melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan seterusnya melonjakkan kedudukan ke tangga ke-16 liga.

Wolves bermula dengan cemerlang di Turf Moor dengan Pedro Neto menguji penjaga gawang Burnley, Nick Pope dengan ancaman daripada pasukan tuan rumah bertambah pada babak pertama.

Barnes terlebih dahulu meletakkan Burnley di hadapan pada minit ke-35 menerusi serangan balas yang pantas hasil umpanan daripada Charlie Taylor.

Ia adalah gol pertamanya dalam Liga Perdana sejak November 2019, menamatkan 970 minit beraksi dalam pertandingan tanpa jaringan.

Burnley terus mengatur serangan dan percubaan Josh Brownhill terkena palang.

Mereka menambah jaringan minit ke-51 selepas Wolves gagal menyempurnakan sepakan percuma Ashley Westwood.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 8:49am
d