Bola Sepak

Rooney sumbang RM408,000

Oleh AFP

London: Pemegang rekod jaringan terbanyak England, Wayne Rooney menderma sebanyak £75,000 (RM408,000) ke talian bantuan kanak-kanak tatkala beliau berasa kecewa kerana masih ada generasi muda 'takut' untuk menyambut Krismas.

Bekas penyerang Manchester United berusia 35 tahun itu sedar bahawa ramai kanak-kanak berada dalam kebimbangan dan trauma, apabila pernah menjadi duta 'The National Society' Persatuan Kebangsaan Pencegahan Penganiayaan Kanak-Kanak (NSPCC) sejak 2015.

Rooney, yang menjadi pengurus sementara pasukan Liga Kejuaraan, Derby County, menyumbang derma ke talian bantuan kanak-kanak atau dikenali sebagai 'Childline' iaitu menawarkan khidmat kaunseling dan nasihat kepada generasi muda bawah 19 tahun.

"Sangat menyedihkan mengetahui ada kanak-kanak di luar sana yang benar-benar menderita dan 'takut' untuk menyambut Krismas.

"Pandemik ini memberi kesan buruk kepada ramai golongan muda, jadi ia memang sangat penting buat 'Childline' hadir untuk mereka yang sangat memerlukan," katanya.

Sumbangan yang dilakukan Rooney untuk membantu kanak-kanak memerlukan mengikut jejak bintang United, Marcus Rashford menangani masalah kebuluran kanak-kanak.

Bekas pengurus United, Alex Ferguson juga sangat teruja dengan apa yang dilakukan Rashford dan turut rasa terpanggil untuk menyumbang £2 juta (RM10.8 juta) kepada yayasan FareShare.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 10:14pm
d