Bola Sepak

Derita Arsenal berterusan

Oleh AFP

London: Manchester City meningkatkan tekanan kepada Mikel Arteta apabila penyandang juara Piala Liga itu mara ke separuh akhir selepas menundukkan Arsenal 4-1.

City memastikan ia akan menjadi Krismas yang menyedihkan buat pengendali Arsenal itu yang turus berdepan kekalahan keempat daripada enam perlawanan sebelum ini.

Gabriel Jesus hanya mengambil masa tiga minit untuk meletakkan City di depan di Stadium Emirates dan biarpun Alexandre Lacazette menyamakan kedudukan, ia menjadi malam paling menyeksakan buat Arteta.

Penjaga gol simpanan Arsenal, Alex Runarsson melakukan kesilapan besar apabila dia membiarkan sepakan percuma Riyad Mahrez memasuki gawang.

Phil Foden dan Aymeric Laporte menambah derita Arsenal turut menjaringkan gol.

"Ia sukar ditelan jika diambil kira perjalanan perlawanan ini. Lawan sebegini, jika anda memberikan mereka gol mudah, ia menjadikan permainan ini sukar.

"Banyak perkara pelik berlaku dalam setiap perlawanan dan ia menjadikannya lebih sukar.

"Runarsson tidak banyak bermain untuk kami. Kita semua melakukan kesilapan dan perlu menyokongnya," kata Arteta yang kedudukannya sebagai pengendali mula dipersoal.

Mereka kini berada di tangga ke-15 Liga Perdana selepas tewas lima dari tujuh perlawanan. Permulaan terburuk sejak 1974-75 – ketika Arsenal dalam krisis.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 9:37am
d