Bola Sepak

Hadi manfaat peluang tingkat prestasi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mahu menggunakan peluang sebaik mungkin untuk terus mempertajamkan sentuhan dan memperbaiki kelemahannya di Jepun.

Hadi, 20, yang sudah dua musim beraksi bersama kelab divisyen dua Jepun, Fagiano Okayama dijangka terus berada di negara Samurai Biru itu musim depan.

Ia susulan kontraknya yang berakhir pada hujung bulan ini akan disambung lagi untuk semusim selepas Fagiano Okayama melihat potensinya sebagai seorang penyerang semakin meningkat.

Menurut Hadi, peluang keemasan itu akan digunakan untuk terus menggilap bakat dan menjadi seorang pemain bola sepak profesional yang lebih baik.

"Saya bersyukur dan gembira dengan berita ini. Terima kasih kepada pengurusan kelab atas kepercayaan yang diberikan dan terima kasih juga kepada pihak Yakult Malaysia yang sentiasa membantu sepanjang dua tahun saya di sini (Jepun).

"Saya akan terus melakukan yang terbaik untuk meningkatkan potensi diri serta memperbaiki kelemahan yang ada. Insya-Allah, 2021 akan menjadi tahun yang terbaik untuk saya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada mengesahkan status Hadi yang ditawarkan kontrak lanjutan.

"Pengurusan pasukan memaklumkan kepada saya mereka membuat keputusan untuk menyambung kontrak Hadi bagi tempoh satu tahun lagi selepas melihat peningkatan mutu permainan yang ditunjukkan oleh Hadi sepanjang tahun 2020." katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 7:59pm
d