Bola Sepak

Ramli akur tak terpilih sebagai exco

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Bekas pemain kebangsaan 80-an, Ramli Junit akur tidak terpilih sebagai exco Persatuan Bolasepak Melaka United (Musa) sesi 2020-2023 namun tetap mengharap mereka yang menjawat jawatan berkenaan melaksanakan tugasan dengan dedikasi.

Baginya, apa yang penting Musa perlu menjaga kebajikan lebih 80 ahli gabungan yang bernaung dalam persatuan berkenaan termasuk membangun program akar umbi yang berkesan.

Katanya, kalah menang adat bertanding kerana apa yang penting persatuan perlu bergerak efektif dengan melakukan pembaharuan yang konsisten untuk faedah bola sepak negeri dan negara.

Dia yang bertanding jawatan exco Musa pada Kongres ke-65 di Bandar Hilir, Sabtu lalu berkata, kini tanggungjawab exco yang dilantik perlu membantu presiden membangun Musa dengan ikhlas untuk memastikan sasaran kegemilangan pasukan dan persatuan yang diharapkan peminat dan penggiat sukan di negeri bakal menjadi kenyataan.

Selain Ramli, dua bekas pemain Melaka yang turut bertanding termasuk Leong Hong Seng dan Ayob Alias turut gagal mengisi lapan jawatan yang dipertandingkan sebagai exco selepas tewas dalam pemilihan berkenaan.

"Agenda kini tertumpu kepada peranan jawatankuasa baharu merangka strategi untuk pembangunan ahli gabungan Musa dan projek pembentukan akar umbi.

"Kami sebagai bekas pemain ikhlas untuk memberi pandangan dan pendapat untuk kebaikan bersama. Justeru kami mengharapkan setiap pandangan akan diberi perhatian sewajarnya termasuk memperuntukkan dana untuk pasukan yang bertanding di Liga Divisyen Satu, Dua dan Tiga Musa,"kata bekas pemain Olimpik 1980 itu.

Ramli yang pernah menjawat jawatan naib presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa) sekitar 1990-an mengambil keputusan drastik untuk bertanding jawatan exco dalam pemilihan kali ini bagi merangka pembaharuan persatuan terbabit, bagaimanapun harapannya tidak menjadi kenyataan.

Seramai 16 orang bertanding bagi memilih lapan tempat bagi dilantik sebagai exco sementara enam bertanding mengisi empat tempat sebagai naib presiden.

Beliau berkata, apapun sikap keterbukaan yang diamalkan oleh presiden Musa, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menjelaskan perkara terbabit ketika kongres amat disambut baik untuk memastikan persatuan akan bergerak lebih cemerlang.

Sehubungan itu, dia tidak rasa terkilan tewas dalam pemilihan berikutan mampu memberi pandangan dan pendapat untuk kemajuan bola sepak Melaka.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 9:23pm
d