Bola Sepak

Bernhardt gembira dicalonkan di ABK

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt mengakui gembira apabila tercalon bagi kategori Jurulatih Terbaik apatah lagi ini adalah kali pertama beliau mengendalikan skuad Liga Malaysia (Liga M).

Bekas jurulatih skuad bawah 22 tahun negara itu tidak menolak ia satu pengalaman baharu membimbing pemain-pemain muda dalam skuad UiTM FC untuk menduduki tangga keenam Liga Super musim ini.

Justeru, sudah pasti gelaran selaku Jurulatih Terbaik adalah salah satu impiannya meskipun sedar bakal bersaing dengan barisan jurulatih lain yang lebih berpengalaman.

"Satu penghargaan untuk saya sebab ini adalah kali pertama saya terbabit dalam Liga M, dan sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan sesebuah pasukan itu, apatah lagi beraksi dalam saingan Liga Super.

"Saya tetap bersyukur apabila tercalon dan sokongan-sokongan yang diterima daripada penyokong juga amat saya hargai.

"Cuma sudah tentu untuk menjadi pemenang bukan mudah kerana semua jurulatih berjaya membuktikan kemampuan masing-masing membawa pasukan mereka harungi Liga M musim ini," katanya.

Sembilan lagi calon yang bersaing merebut gelaran Jurulatih Terbaik adalah Nafuzi Zain (Terengganu FC), Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur), Manzoor Azwira (Pulau Pinang), Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (Johor Darul Ta'zim), Mehmet Durakovic (Perak) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor).

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri profesional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin lalu dan akan berakhir pada tengah malam ini pada jam 11.59 malam. Penyokong boleh membuat undian dengan melayari bit.ly/ABK20Fans .

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 1:12pm
d