Bola Sepak

Fernandes gembira lihat rakan sepasukan kecewa

Oleh Agensi

London: Bruno Fernandes mendedahkan Manchester United kecewa dengan keputusan seri 2-2 ketika berdepan Leicester City selepas dua kali mendahului perlawanan.

Pasukan bimbingan Ole Gunnar Solskjaer terlepas peluang untuk merapatkan jurang dengan pendahulu, Liverpool selepas mereka berkongsi mata dengan skuad kendalian Brendan Rodgers yang memulakan aksi di tangga kedua.

Red Devils melepaskan gol enam minit sebelum perlawanan tamat melalui jaringan sendiri Axel Tuanzebe sekali gus kehilangan dua mata, namun Fernandes percaya ia petanda yang bagus selepas melihat rakan sepasukannya berasa kecewa.

"Saya sangat gembira apabila masuk ke bilik persalinan dan melihat semua kecewa dan menyatakan mereka harus beraksi dengan lebih baik selepas ini. Setidak-tidaknya mereka menunjukkan mentaliti untuk menang dan kami tidak gembira dengan hanya meraih satu mata.

"Kami sangat kecewa, kami tahu memperoleh peluang untuk meraih tiga mata, ia sangat penting buat kami kerana mahu memenangi semua perlawanan," katanya.

United mendahului apabila Fernandes menolak bola kepada Marcus Rashford yang menyudahkan untuk jaringan pendahuluan namun Harvey Barnes berjaya meledak gol penyamaan sebelum rehat.

Fernandes kembali meletak United di depan hasil hantaran cantik pemain gantian Edinson Cavani namun Tuanzebe tertolak masuk bola ke dalam gawang sendiri selepas Jamie Vardy melepaskan rembatan.

Fernandes mengakui kekuatan yang dimiliki pasukan lawan namun United agak tumpul ketika berada di depan gol.

"Mereka mempunyai pasukan yang mantap tapi kami memperoleh peluang untuk mencatat kemenangan dan lebih banyak gol dapat dihasilkan berbanding mendahului 2-1 sehingga minit ke-85.

"Berdasarkan keputusan, kami sepatutnya tidak boleh melepaskan gol, kami sangat kecewa tapi tidak boleh membiarkan ia mempengaruhi untuk aksi selepas ini dalam tempoh tiga hari, kami boleh kecewa tapi perlu melakukan dengan baik selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 8:48am
d