Bola Sepak

Sigurdsson pelik mampu jaringkan gol

Oleh AFP

London: Gylfi Sigurdsson mendedahkan perubahan posisi pada saat akhir yang dilakukan Carlo Ancelotti tidak menghalangnya untuk berada dalam petak penalti dan menjaringkan gol kemenangan Everton ketika berdepan Sheffield United.

Pemain antarabangsa Iceland itu berada pada masa dan kedudukan yang tepat untuk menerima hantaran Abdoulaye Doucoure sebelum merembat masuk bagi mengesahkan kemenangan 1-0 di tempat lawan.

Ia membolehkan The Toffees berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beraksi 15 perlawanan.

Bagaimanapun, selepas perlawanan Sigurdsson mendedahkan posisinya ditukar sebelum meledak gol kemenangan.

"Ancelotti sebenarnya meletakkan saya di kedudukan pemain tengah bertahan, jadi saya tidak pasti kenapa boleh berada di dalam petak penalti lawan.

"Bagaimanapun, gerakannya sangat cantik. Bernie (Bernard) mengawal bola dengan baik sebelum menghantar kepada Doucs (Doucoure) dan ia diserahkan kepada saya sebelum melakukan rembatan," kata Sigurdsson.

Sheffield masih lagi memburu kemenangan pertama EPL musim ini dan kekal berada di tangga terbawah liga.

Bagaimanapun, Sigurdsson dan rakan sepasukannya tahu kemenangan bukannya dapat hadir dengan mudah di Bramall Lane.

"Kami memerlukan tiga mata dan sedar ia begitu sukar apabila hadir ke sini. Saya rasa mereka sedikit kurang bernasib baik musim ini. Banyak kekalahan mereka hanya disebabkan jurang satu gol, mereka bukan pasukan yang teruk," katanya,

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 10:40am
d