Bola Sepak

Aksi City, Everton ditangguhkan akibat Covid-19

Oleh AFP

London: Aksi antara Manchester City dan Everton terpaksa ditangguhkan selepas beberapa kes baru Covid-19 dikesan dalam kalangan skuad Pep Guardiola.

City sebelum ini (25 Disember) sudah mengumumkan empat ujian didapati positif membabitkan pemain, Kyle Walker dan Gabriel Jesus serta dua staf kelab.

"Berdasarkan saranan perubatan Liga Perdana Inggeris (EPL), serta perbincangan antara kedua-dua pasukan, aksi ini diputuskan untuk ditangguhkan.

"Selepas ujian terkini Covid-19, kami mendapati beberapa keputusan didapati positif, selepas sebelum ini empat keputusan positif sudah dilaporkan ketika Hari Krismas.

"Bagi menjaga soal keselamatan ia tidak boleh berkompromi, kerana bakal mendatangkan risiko berkemungkinan virus berkenaan mampu merebak lebih luas kepada skuad, staf dan juga pihak luar," jelas City dalam satu kenyataan.

Berdasarkan peraturan EPL perlawanan tidak akan ditangguhkan kecuali jika kelab berkenaan mempunyai tidak sampai 14 pemain yang cergas.

Bagaimanapun, EPL berkata, perlawanan itu ditangguhkan sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan nasihat bahagian perubatan.

"Manchester City meminta EPL agar aksi ini diaturkan semula berdasarkan peningkatan kes ujian Covid-19 yang diterima mereka awal pagi tadi (malam semalam), selepas beberapa kes dilaporkan pada Hari Krismas.

"Peningkatan itu mewujudkan situasi tidak menentu dan Majlis EPL menerima nasihat perubatan bahawa aksi ini perlu ditangguhkan.

"Kami bersetuju untuk mengatur semula perlawanan ini sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa lagi ujian akan dijalankan. Keputusan sudah dibuat demi keutamaan kesihatan pemain dan staf," kata EPL.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 8:24am
d