Bola Sepak

Arsenal menang lagi

Oleh AFP

London: Arsenal berjaya mengurangkan tekanan pengurus, Mikel Arteta selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Brighton awal pagi tadi namun aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk minggu-minggu seterusnya menjadi tanda tanya selepas merekodkan 18 kes positif Covid-19 membabitkan pemain dan staf pasukan.

Selepas aksi antara Manchester City dan Everton ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 dalam skuad Pep Guardiola, kesemua lima perlawanan awal pagi ini diteruskan walaupun terdapat sedikit gangguan antara Sheffield United dan Southampton.

Sheffield yang juga pasukan tercorot liga mendedahkan mereka berdepan dengan beberapa kes positif Covid-19 namun masih mampu untuk membariskan skuad 18 pemain ketika kalah 0-1 kepada Burnley.

Bagaimanapun, apa yang berlaku tidak menghalang Arsenal untuk meneruskan rentak kemenangan mengurangkan kegusaran mereka sebelum ini mampu tergelincir ke zon penyingkiran.

Selepas berjaya mengalahkan Chelsea 3-1 Ahad lalu Arsenal sekarang ini berjaya memperbaiki semula kedudukan liga apabila buat kali pertama mencatat kemenangan berturut-turut selepas kali terakhir pada dua aksi pembukaan musim ini.

"Ubat paling melegakan ialah kemenangan. Apabila anda menang ia adalah kisah yang berbeza dan gambaran yang ditonjolkan sekarang nampak lebih baik," kata Arteta.

Pierre Emerick Aubameyang kembali beraksi selepas berehat akibat kecederaan dengan menggantikan Alexandre Lacazette iaitu satu-satunya perubahan dilakukan Arteta.

Bagaimanapun, Lacazette masuk sebagai pemain gantian untuk memberi impak segera dengan menjaringkan gol kemenangan hasil hantaran Bukayo Saka selepas 21 saat berada di atas padang.

Kemenangan itu membolehkan The Gunners berada di tangga ke-13, tujuh mata di belakang kelompok empat terbaik.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 5:49am
d