Bola Sepak

Man United sertai Liverpool di puncak EPL

Oleh AFP

London: Ole Gunnar Solskjaer memuji peningkatan dipamerkan Manchester United berbanding tahun lalu selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa sekali gus menyaksikan mereka berkongsi mata dengan Liverpool di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Setahun lalu pada tempoh sama, United tewas 0-2 kepada Arsenal dan ketinggalan 24 mata di belakang juara Liga Perdana itu.

Selepas beberapa pesaing utama mencicirkan mata sejak beberapa minggu lalu, United kini mengumpul 33 mata sekali gus berpeluang mencabar kejuaraan liga.

"Sudah tentu kami gembira dengan apa yang kami lakukan. Kami sudah menunjukkan peningkatan dalam tempoh setahun ini. Kami semakin kuat," kata Solskjaer.

Bruno Fernandes menjadi watak penting mengubah nasib United sejak 12 bulan lalu dan bintang Portugal itu sekali lagi meraih gol kemenangan untuk menewaskan Villa.

Skuad bimbingan Solskjaer yang memerlukan gol kemenangan minit ke-93 untuk menewaskan Wolves Selasa lalu, mempamerkan aksi lebih meyakinkan kali ini.

Anthony Martial meledak gol pertama minit ke-40 sebelum Bertrand Traore menyamakan kedudukan untuk Villa minit ke-58.

Terjahan keras Douglas Luiz ke atas Paul Pogba menyaksikan United dihadiahkan sepakan penalti dan Fernandes tidak mensia-siakan peluang itu apabila menyempurnakannya minit ke-61.

"Saingan liga masih awal lagi dan kami tidak sepatutnya terbawa-bawa dengan kemenangan ini. Saingan liga musim ini dijangka sangat sengit.

"Kami pasti akan berdepan perlawanan sukar dan keputusan pelik tetapi sejak 'Project Restart', saya rasa kami semakin konsisten," kata Solskjaer.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 7:56am
d