Bola Sepak

Moyes, West Ham kecewakan Everton

Oleh AFP

Liverpool: Pengurus West Ham, David Moyes berkata, terdapat perubahan mentaliti yang dipamerkan barisan pemainnya musim ini selepas jaringan lewat Tomas Soucek membantu melakar kemenangan 1-0 ke atas Everton.

Skuad bimbingan Moyes berdepan jadual padat sepanjang perayaan Krismas apabila perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari namun berjaya menamatkan cabaran itu menerusi gol Soucek empat minit sebelum tamat perlawanan.

"Pemain sudah beraksi tiga perlawanan dalam tempoh enam hari. Mereka cukup luar biasa," kata Moyes yang berjaya membantu pasukan melakar kemenangan pertama di Goodison Park, kelab yang pernah dibimbingnya selama 11 tahun.

"Saya tidak rasa ada perubahan pada tahap kecergasan pemain, jadi pujian harus diberikan kepada pemain. Terdapat perubahan mentaliti di West Ham."

Kemenangan itu menyaksikan West Ham hanya kurang tiga mata daripada tangga ketiga liga meskipun mereka kini menduduki tangga ke-10 dalam saingan liga yang cukup sengit.

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti pula mengakui barisan pemainnya gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.

"Ia bukanlah prestasi yang terbaik. Kami tidak mempunyai peluang dan gagal memanfaatkan peluang.

"Lawan lebih bernasib baik dan akhirnya kami tewas. Kami sepatutnya mampu mempamerkan kualiti lebih baik terutama di bahagian serangan," katanya.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 8:41am
d