Bola Sepak

Dooley pilihan kemudi Sri Pahang FC

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pasukan Sri Pahang FC sah mendapatkan khidmat jurulatih import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Ini kerana jurulatih berasal dari Jerman, Thomas Dooley yang disebut-sebut akan membimbing Sri Pahang sudah berada di Kuantan.

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Dooley yang pernah bermain dengan kelab Jerman, Bayer Leverkusen akan memulakan tugasnya bersama pasukan itu, Isnin ini.

"Memang benar Dooley berada di negara ini terutama di Kuantan dan dijangka bertemu pegawai PBNP, barisan kejurulatihan dan pemain, esok.

"Isnin ini, beliau (Dooley) akan memulakan tugas pertamanya selaku ketua jurulatih Sri Pahang FC," kata sumber berkenaan.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi Sri Pahang akan mendapatkan khidmat jurulatih import bagi saingan Liga M terutama berdepan cabaran dalam Liga Super.

Walaupun ada beberapa nama disenaraikan termasuk jurulatih tempatan, Dooley yang pernah membimbing skuad Filipina berjaya menarik minat pengurusan Sri Pahang.

Selain itu beliau mempunyai pengalaman beraksi dengan beberapa kelab terkemuka di Jerman iaitu Bayer Leverkusen dan Schalke 04.

Dooley pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat pada 2011 hingga 2012.

Kali terakhir Pahang mendapatkan khidmat jurulatih import ialah pada 2014 yang dikendalikan oleh Ronald Smith.

Namun, Smith hanya membimbing Pahang selama empat bulan sebelum diambil alih Zainal Abidin Hassan ketika itu.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 2:42pm
d