Bola Sepak

Futbolista: Raih pengalaman berharga bersama Fagiano

Oleh Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun

Konnichiwa! Izinkan saya memulakan penulisan pertama ini dengan mengucapkan Selamat Tahun Baru 2021 kepada semua rakyat Malaysia yang mengenali saya khususnya kepada mereka yang sentiasa menyokong perjalanan karier saya dari Malaysia hinggalah di bumi Matahari Terbit ini.

Terima kasih kepada Harian Metro yang memberikan saya peluang untuk menulis sedikit coretan berkaitan perjalanan kehidupan saya di sini sepanjang setahun akan datang ini.

Mungkin pengalaman tidak seberapa ini akan memberikan semangat kepada pemain bola sepak muda di Malaysia yang mempunyai keinginan untuk mencuba nasib di luar negara seperti saya.

Tahun 2020 juga memberikan saya pengalaman berharga apabila menjalani latihan bersama Fagiano Okayama dalam keadaan berlainan. Saya percaya ianya bukan berlaku kepada kami di Jepun sahaja, tapi di seluruh dunia. Sepanjang 2020, banyak juga peristiwa istimewa berlaku kepada saya.

Paling manis apabila saya dilantik menjadi Duta Perlancongan Kesihatan Okayama oleh Datuk Bandar Okayama. Pelantikan ini merupakan satu penghormatan bukan sahaja kepada saya sendiri malah kepada dunia sukan di Malaysia.

Okayama merupakan sebuah bandar indah dan mesra kepada pelancong Muslim dari seluruh dunia. Bagi 2021 ini, saya memulakan musim bersama Kelab Azul Claro Numazu yang terletak kira-kiar 600km dari Okayama, selaku pemain pinjaman.

Terima kasih kepada pengurusan kelab Fagiano Okayama, pengurusan kelab Azul Claro Numazu serta tidak asing lagi Encik Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult Malaysia yang membantu saya dalam segala urusan untuk berpindah sementara ke kelab itu.

Saya mengharapkan musim baru lebih mencabar bersama kelab itu serta diberi peluang dan kesempatan bagi saya untuk mendapatkan minit bermain bersama pasukan ini.

Sudah pasti, saya akan terus bersemangat dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi kelab ini. Semoga Tahun Baru 2021 ini akan menjadi tahun lebih bererti buat kita semua, di beri kekuatan untuk menghadapi cabaran khususnya pendemik Covid-19 serta diberikan kebahagiaan sepanjang tahun ini. Saya doakan yang terbaik untuk kita semua dan majulah sukan bola sepak untuk negara.

Disiarkan pada: January 3, 2021 @ 6:45am
d