Bola Sepak

Tujuh aksi pra musim uji Red Giant

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tujuh aksi pra musim bakal dijadikan medan ujian buat memantapkan pasukan Selangor FC menjelang musim baru Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula 26 Februari depan.

Pengendali Red Giant, Karsten Neitzel berkata, tujuh aksi itu dilihat memadai bagi memperkemaskan permainan pasukan.

"Kami merancang untuk mengadakan tujuh perlawanan persahabatan pra musim berserta kem latihan sebelum liga bermula.

"Pihak pengurusan Selangor FC memberikan peluang yang baik untuk kami mempersiapkan musim ini dan kami akan menggunakannya dengan sebaik mungkin," kata jurulatih yang berasal dari Jerman itu.

Beliau yang baru dilantik membimbing pasukan bulan lalu mengakui berpuas hati dengan komitmen semua pemain pada hari pertama latihan Isnin lalu.

Malah, Neitzel juga turut teruja dengan kualiti yang dimiliki oleh anak buahnya selain mahu pemain menjalani latihan dalam suasana harmoni dan ceria.

"Mereka menunjukkan sikap yang bagus dan mereka juga menikmati program latihan yang dijalankan. Saya melihat kualiti yang baik dari mereka biarpun baru pertama kali mengendalikan pasukan.

"Saya berharap pemain akan mencapai tahap terbaik dan berlatih dengan tanpa sebarang kecederaan. Saya mahu mereka bersikap telus dengan saya jika mereka mempunyai masalah, saya lebih suka mereka tidak menyembunyikannya dari saya," katanya yang pernah menjadi penolong jurulatih kelab Urawa Reds di Liga Satu Jepun pada 2009-2010.

Selain itu, pengendali berusia 52 tahun itu juga pernah membimbing kelab di Jerman Bochum VFL, SV Eleversberg serta membawa Holstein Kiel ke Divisyen dua Liga Jerman.

Untuk rekod, Selangor FC sekadar menamatkan saingan di tangga kelima Liga Super selepas mengharungi 11 aksi liga sepanjang musim lalu dan turut menyaksikan kedudukan B Sathianathan terancam apabila khidmatnya ditamatkan oleh pengurusan pasukan.

Disiarkan pada: January 7, 2021 @ 2:42pm
d