Bola Sepak

Penampilan bertenaga Ibrahimovic bantu Milan

Oleh AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic kembali daripada kecederaan apabila dimasukkan daripada bangku simpanan ketika AC Milan menewaskan Torino 2-0 untuk terus melebarkan kedudukan selaku pendahulu Serie A.

Minggu lalu juara bertahan Juventus menamatkan rentetan kemenangan tanpa kalah 27 perlawanan Milan dalam liga sejak Mac lalu.

Namun gol Rafael Leao dan penalti Franck Kessie pada babak pertama memastikan AC Milan mara empat mata di depan Inter Milan yang akan berdepan pasukan tangga ketiga, Roma awal pagi esok.

Ibrahimovic bermula dari bangku simpanan selepas tidak beraksi sejak menjaringkan dua gol ketika berdepan Napoli pada 22 November kerana kecederaan betis dan kemudiannya pangkal paha.

"Kami ada program yang jelas, jika Ibrahimovic lulus ujian semalam dia boleh memainkan peranan kecil," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Pemain Sweden berusia 39 tahun itu yang meledak 10 gol dalam enam perlawanan liga sebelum cedera, menggantikan Leao berbaki lima minit permainan ketika tuan rumah mendominasi permainan.

"Perkara penting ialah dia sudah sembuh daripada masalah otot, kini kami perlu membantunya mencari semula prestasi selepas lama tidak bermain," kata Pioli.

Disiarkan pada: January 10, 2021 @ 11:41am
d