Bola Sepak

Ozil tak pernah menyesal sertai Arsenal

Oleh Agensi

London: Perancang Arsenal, Mesut Ozil berkata, dia melalui tempoh naik dan turun sepanjang bersama kelab itu tetapi tidak rasa menyesal menyertai Gunners.

Bekas pemain antarabangsa Jerman berusia 32 tahun itu tidak pernah beraksi bersama Arsenal sejak 7 Mac tahun lalu.

Kontraknya akan berakhir pada musim panas dan dia dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Turki, Fenerbahce.

"Saya membesar sebagai penyokong Fenerbahce," kata Ozil ketika sesi soal jawab di media sosial.

"Setiap individu campuran Jerman-Turki akan menyokong pasukan Turki apabila mereka membesar di Jerman. Saya pula meminati Fenerbahce.

"Fenerbahce seperti Real Madrid di Sepanyol. Kelab terbesar di negara itu."

Ozil berkata, dia akan terus beraksi apabila bakal meninggalkan Arsenal kelak dengan menambah: "Terdapat dua negara yang saya ingin beraksi sebelum bersara. Turki dan AS (Amerika Syarikat). Jika saya ke Turki, saya hanya mahu beraksi bersama Fenerbahce."

Ozil menyertai Arsenal dengan nilai perpindahan £42.4 juta (RM233 juta) dari Real Madrid pada 2013 dan sudah menjaringkan 44 gol dalam 254 penampilan disemua pertandingan untuk Gunners.

Bagaimanapun dia tidak beraksi bersama kelab London itu sejak Liga Perdana kembali beraksi 17 Jun tahun lalu selepas berehat tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta juga tidak menyenaraikan pemain itu dalam senarai 25 pemain di Liga Perdana dan Liga Europa pada musim ni.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 10:53am
d