Bola Sepak

Konspirasi singkir CEO TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Belum panas lagi menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC) Sdn Bhd, sudah ada konspirasi pihak tertentu untuk menyingkirkan Ab Rasid Jusoh daripada terus memegang jawatan berkenaan.

Isu ini bukan sekadar mainan di media sosial, tapi difahamkan sudah berada dalam pengetahuan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd.

Ketika ditanya perkara berkenaan, Ab Rasid yang baharu memegang jawatan itu sejak pertengahan Oktober tahun lalu juga tidak menolak wujudnya gerakan itu.

Beliau yang pernah menjawat jawatan sama dalam skuad T-Team pada 2013 hingga 2015 selain berjaya membantu kelab itu mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada 2016, sama sekali tidak menduga situasi itu berlaku kerana baharu dua bulan lebih memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak petang semalam, beliau tetap tenang sambil menegaskan tidak mahu ambil pusing perkara itu sebaliknya kekal komited dalam usaha membantu pasukan TFC dan Terengganu FC II (TFC II) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemegang Sarjana Pengurusan Sukan dari Universiti Curtin, Australia itu yang dibantu Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas menyerahkan perkara itu kepada Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd dan Presiden PBSNT membuat keputusan.

"Isu ini hangat dalam media sosial sejak minggu lalu, saya pun tidak pasti kenapa perkara ini berlaku, lagipun saya masih baharu lagi pegang jawatan itu.

"Liga pun masih belum bermula, bagaimana pihak yang tidak bersetuju saya memegang jawatan itu menilai, saya syak mungkin ada individu yang tidak senang dengan apa yang kami buat sekarang.

"Namun saya tidak mahu menuding jari selain memikirkan perkara itu kerana tugas yang diamanahkan kepada saya adalah untuk meningkatkan prestasi dua pasukan itu di dalam dan luar padang, itu yang penting serta menjadi keutamaan saya selain fokus untuk pembangunan, kewangan dan sebagainya.

"Jadi saya tidak mahu ulas lebih lanjut sebaliknya menyerahkan perkara ini kepada Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd untuk membuat keputusan," katanya.

Difahamkan Samsuri sudah menerima resolusi dalam usaha untuk menyingkirkan Ab Rasid daripada terus memegang jawatan itu selepas penswastaan penuh pasukan sebagaimana yang diwajibkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dalam perkembangan lain, Ab Rasid menyatakan pemain import terakhir skuad itu dijangka tiba di Kuala Lumpur hari ini.

"Pemain import kelima itu adalah pemain tengah kelahiran Mali, namun saya tidak boleh dedahkan lagi namanya sebelum pemain itu tiba di Kuala Terengganu menjalani latihan bersama pasukan," katanya.

Disiarkan pada: January 12, 2021 @ 1:22pm
d