Bola Sepak

Man United 'gayat' di puncak liga

Oleh AFP

London: Paul Pogba meletakkan Manchester United di tangga teratas Liga Perdana buat kali pertama selepas tiga tahun apabila jaringan tunggalnya berjaya menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor, hari ini.

United kini mengatasi juara bertahan, Liverpool dengan kelebihan tiga mata menjelang pertembungan kedua-dua pasukan paling berjaya dalam sejarah bola sepak Inggeris itu di Anfield awal pagi Isnin.

Di sebalik spekulasi berhubung masa depannya, Pogba memainkan watak penting kepada kempen United untuk mencabar kejuaraan liga buat kali pertama selepas kali terakhir melakukannya ketika era bekas pengurus, Alex Ferguson pada 2013.

Keputusan menyambar Bruno Fernandes selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Burnley di Old Trafford hampir setahun lalu nyata berjaya mengubah nasib United.

Aksi konsisten Pogba mampu meyakinkan Solskjaer bahawa beliau boleh menamatkan penantian lapan tahun kelab itu untuk memenangi kejuaraan liga.

Kejayaan menewaskan Burnley, pasukan yang tidak pernah tewas di tempat sendiri sejak Oktober tahun lalu juga membuktikan bahawa United mempunyai keupayaan mencabar kejuaraan liga.

Pogba muncul wira selepas menyempurnakan hantaran Marcus Rashford minit ke-71.

Burnley mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan sebanyak dua kali selepas itu namun kedua-duanya disia-siakan begitu sahaja.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 7:06am
d