Bola Sepak

Datang ke China kerana wang - Jihai

Oleh AFP

Shanghai: Bekas bintang Manchester City, Sun Jihai menjelaskan jurulatih asing datang ke China hanya kerana wang dan tidak banyak membantu negara berkenaan untuk mengejar impian layak ke Piala Dunia.

Kenyataan berkenaan hadir seminggu selepas pasukan Liga Super China (CSL), Beijing Guoan melantik Slaven Bilic sebagai jurulatih dan pengendali kelahiran Croatia itu mengakui faktor kewangan memainkan peranan penting dalam perpindahannya.

Bekas jurulatih West Bromwich Albion itu menjadi pengendali asing terkini menyertai CSL, selepas Fabio Cannavaro (Guangzhou Evergrande) dan Rafael Benitez (Dalian Pro).

"Jurulatih asing datang ke China hanya kerana tujuan yang mudah, pembayaran tinggi.

"Kalau bukan sebab itu kenapa mereka datang ke sini? Adakah mereka mahu mempertingkatkan kualiti bola sepak China? Jadi apa yang sudah mereka lakukan setakat ini," kata Jihai bekas pertahanan City dari 2002 hingga 2008.

Bagaimanapun, Jihai mengakui jika beliau menjadi jurulatih tindakan yang sama juga akan dilakukannya.

Kelab CSL berjaya meningkatkan reputasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas berbelanja besar untuk mendapatkan pemain penyerang seperti contoh tonggak antarabangsa Brazil, Oscar yang dibayar €60 juta (RM295 juta) oleh Shanghai SIPG.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 8:35pm
d