Bola Sepak

MU harap pemain kekal kecergasan

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pengurusan Melaka United (MU) mengharapkan momentum kecergasan pemain pasukan terbabit tidak terjejas berikutan tanpa latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di bandaraya Melaka.

Pengurus pasukan MU, Muhammad Akram Abdullah berkata, walaupun tanpa latihan bersama susulan PKP namun nasihat dan jadual harian yang diberikan jurulatih kepada pemain di kediaman masing-masing diharap mampu mengekalkan tahap kecergasan mereka.

Menurutnya, mengakui tahap keserasian mereka bakal terjejas namun diharap ia tidak akan mengganggu rentak pasukan yang sudah menjalani latihan bersama selama kira-kira empat minggu.

Katanya, mengikut perancangan satu perlawanan persahabatan akan diatur hujung bulan ini, namun jika PKP dilanjutkan aksi berkenaan terpaksa di tunda.

"Apapun kami akur dengan PKP yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha mengatasi penularan wabak berkenaan yang dilihat semakin membimbangkan.

"Justeru, semua pemain juga diingatkan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika mereka berada rumah mahupun mempunyai urusan di luar," katanya.

Sehubungan itu, pengurusan sebelum ini turut menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sebelum, semasa dan selepas latihan serta selepas mereka kembali menjalani latihan kelak kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelas pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang berada di zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu berehat seketika daripada melakukan latihan dan persiapan pramusim.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, semua pasukan perlu mematuhi setiap arahan atau prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kalau kita lihat kejohanan kita belum ada lagi. Kita jangka kejohanan seperti Liga Super dan Liga Perdana pada 26 Februari, tapi kita mengikut apa prosedur yang ditetapkan kerajaan.

"Kita tiada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan, maknanya mengikut prosedur PKP dan PKPB yang diumumkan," katanya.

Muhyiddin kelmarin mengumumkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka dan Sabah dikenakan PKP bermula hari ini hingga 26 Januari.

Negeri yang dikenakan PKPB pula adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 9:09pm
d