Bola Sepak

JDT intai Herrera

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memperkuatkan pasukan mereka sebagai persiapan Liga Malaysia 2021 (Liga M), selepas pasukan itu dilaporkan akan menandatangani seorang penyerang Argentina, Jonathan Herrera dari pasukan Premira B Nacional, Deportivo Riestra.

Primera B Nacional adalah divisyen dua pertandingan Liga Bola Sepak Argentina.

Menurut laporan berita daripada Argentina (Instagram wartawan sukan TYC Cesar Luis Merlo) mendedahkan, yang agen Herrera bersetuju dengan perjanjian 'verbal', bersama skuad Harimau Selatan mengenai perkara itu.

Laporan itu juga mendakwa yang pemain bahagian serangan Argentina berusia 29 tahun itu, akan terbang ke Malaysia pada Sabtu dan menjalani ujian kesihatan sebelum menandatangani kontrak tiga tahun bersama JDT.

Sebelum ini pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan yang kelab itu sudah pun menandatangani penyerang Brazil, Camilo Da Silva Sanvezzo dari kelab Liga Mexico, Tijuana dan juga pemain tengah kebangsaan Muhammad Daniel Amier Norhisham daripada Felda United.

Sementara itu beberapa laporan di Australia mendakwa yang JDT bersetuju untuk meminjamkan dua pemain mereka iaitu pemain naturalisasi Malaysia Liridon Krasniqi dan juga pemain muda Indonesia Syahiran Abimanyu, kepada pasukan Liga Australia, Newcastle Jets.

Bagaimanapun wakil JDT ketika dihubungi Bernama hari ini, enggan mengulas kedua-dua laporan tersebut, namun menyatakan yang kelab itu akan membuat pengumuman dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Disiarkan pada: January 13, 2021 @ 11:08pm
d