Bola Sepak

Fulham buat Mourinho terkedu

Oleh AFP

London: Fulham menyebabkan Jose Mourinho terpaksa membayar harga yang tinggi berikutan ejekannya apabila gol penyamaan Ivan Cavaleiro menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1 sekali gus menjejaskan impian Tottenham untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana.

Mourinho mencetuskan perang mulut bersama pengurus Fulham, Scott Parker menjelang perlawanan itu selepas keputusan Liga Perdana menjadualkan semula perlawanan berkenaan dengan notis cukup singkat.

Harry Kane meletakkan tuan rumah di depan pada babak pertama di Stadium Tottenham Hotspur namun Cavaleiro menjaringkan gol penyamaan di hujung perlawanan sekali gus menyebabkan skuad Mourinho berdepan kekecewaan.

Tottenham hanya memenangi dua daripada lapan perlawanan terakhir dan kini menduduki tangga keenam liga.

Jika meraih kemenangan ke atas pasukan bawahan, Fulham, ia akan menyaksikan Tottenham melonjak di tangga ketiga mengatasi Manchester City yang melakar kemenangan keempat berturut-turut di Liga Perdana selepas menewaskan Brighton 1-0.

City tidak pernah tewas sepanjang 14 perlawanan disemua pertandingan sejak tewas kepada Tottenham pada November tahun lalu.

Perlawanan membabitkan Tottenham dan Fulham pada asalnya berlangsung Disember namun ditangguhkan dan kemudian dijadualkan semula hari ini bagi memberikan ruang kepada jadual padat dihadapi anak buah Mourinho.

Parker berkata, ia adalah keputusan yang penuh 'skandal' dan salah untuk pasukannya dipaksa beraksi dengan notis cukup singkat.

Mourinho membalas kenyataan itu dengan berkata, beliau hanya bersimpati dengan Fulham jika kelab itu membariskan pasukan lemah.

"Jika mereka tampil dengan pasukan terbaik, saya rasa mereka patut meminta maaf kepada kami," kata Mourinho.

Namun Fulham nyata menyahut cabaran Mourinho dengan membariskan pasukan utama pada perlawanan itu.

Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 8:21am
d