Bola Sepak

Arsenal 'penat' berdepan Palace

Oleh AFP

London: Mikel Arteta mengakui Arsenal mengalami keletihan daripada kebangkitan mereka sejak akhir-akhir ini sebelum mencatat keputusan seri 0-0 menentang Crystal Palace, pagi ini.

Skuad kendalian Arteta sudah menang semua empat perlawanan dalam semua kejohanan tetapi mereka bernasib baik dapat meneruskan rentetan tanpa kalah kepada lima perlawanan.

Palace gagal menyempurnakan beberapa peluang dalam separuh masa pertama di Stadium Emirates dan walaupun Arsenal mempamerkan peningkatan selepas rehat, mereka terlepas peluang kembali mendaki kedudukan carta Liga Perdana.

"Saya mahu melihat kemenangan dan beberapa gol tetapi kami keletihan. Saya tidak boleh salahkan semangat yang ada tetapi ia tidak cukup," kata Arteta.

"Kami banyak mencipta situasi sukar pada awal permainan tetapi ada masanya kami terlalu banyak memberikan bola dengan mudah.

"Kami bermain sangat banyak perlawanan dan anda boleh melihat keletihan. Ramai pemain tidak segar. Kami kekurangan kualiti pada babak akhir untuk memenangi perlawanan."

Arsenal berada di tangga ke-11, lapan mata di belakang tempat ke Liga Juara-Juara ketika mereka mula merasakan kesan akibat permulaan yang buruk sejak 1974-75.

Palace pula hanya menang satu daripada lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan dan kekurangan satu mata daripada Arsenal kini berada di tangga ke-13.

Disiarkan pada: January 15, 2021 @ 7:38am
d