Bola Sepak

Ronaldo pemain 'luar biasa'

Oleh Agensi

Milan: Alvaro Morata menyifatkan Cristiano Ronaldo sebagai pemain 'luar biasa' selain antara peledak terbaik sepanjang zaman dan berhasrat memberitahu anak-anaknya bahawa dia beraksi di samping penyerang Juventus itu.

Pemenang lima Ballon d'Or itu meledak 19 gol dalam 18 perlawanan pada musim ketiganya bersama juara Serie A itu.

Morata, yang kembali ke Stadium Allianz daripada Atletico Madrid menerusi pinjaman sejak awal September lalu, berjaya menjaringkan empat gol dan lima bantuan jaringan dalam 12 perlawanan liga.

Mereka pernah meluangkan masa bersama di Real Madrid, lantas Morata berkata ia adalah satu keseronokan untuk kembali bergandingan dengan kapten Portugal itu.

"Sangat mudah untuk beraksi dengannya. Kami sudah lama mengenali antara satu sama lain.

"Dalam beberapa situasi yang orang biasa tidak mampu mencapainya, dia pula sebaliknya.

"Dia adalah antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Dia hebat, mempunyai kualiti yang luar biasa." katanya.

Juventus yang berada di tangga ke empat liga akan berdepan pasukan di tangga kedua Serie A, Inter Milan, awal pagi Isnin ini ketika kedua-dua pasukan dipisahkan dengan perbezaan empat mata.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 1:25pm
d