Bola Sepak

Fakhrullah nanti khabar gembira

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Penyerang Melaka United (MU) Fakhrullah Rosli yakin Liga Malaysia akan berlangsung mengikut jadual seandainya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berakhir 26 Januari depan tidak dilanjutkan.

Katanya, sebagai pemain, peminat dan penggiat sukan pasti mengharapkan pandemik Covid -19 segera berakhir malah penularan wabak berkenaan berjaya dikekang sekali gus menggembirakan semua lapisan masyarakat yang kini amat bimbang dengan wabak terbabit.

Bagaimanapun, dia tidak menolak kemungkinan liga akan ditangguhkan lebih lama jika PKP 2.0 dilanjutkan dan pandemik berkenaan tidak berjaya dilandaikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, apapun semuanya diserahkan kepada pengumuman kerajaan dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan status liga berkenaan dengan apa yang penting sebagai pemain, dia harus bersedia pada bila-bila masa untuk beraksi.

"Namun latihan yang terhenti selama dua minggu ini sememangnya amat mencabar untuk mengekalkan kecergasan kerana perlu bekerja lebih keras meningkatkan momentum yang sudah diperolehi sepanjang sesi bersama pasukan selama lebih empat minggu sebelum ini.

"Apapun saya sedaya upaya mahu mengekalkan aspek kecergasan yang dimiliki, tidak hilang sepenuhnya berikutan ianya boleh menjejaskan sesi latihan jika di sambung kelak," katanya.

Dalam pada itu, dia bersyukur kerana khidmatnya bersama pasukan Melaka United disambung musim ini, justeru dia berazam menunjukkan prestasi terbaik selepas diberi kepercayaan dan peluang untuk bermain.

Malah keserasian dalam pasukan berkenaan di lihat lebih terserlah kerana hampir separuh pemain musim lepas dikekalkan.

Sehubungan itu, dia amat berharap liga bakal disambung mengikut jadual dalam merancakkan lagi sukan bola sepak di negara sekali gus menamatkan kerinduan peminat untuk menyaksikan saingan Liga Malaysia.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang dijadualkan pada 26 Februari depan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan sekalipun PKP bersambung hanya untuk dua minggu.

Jelas beliau, lanjutan PKP akan menyebabkan pasukan hanya memiliki masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga dan lebih membimbangkan apabila pasukan turut tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, di atas kertas jika PKP disambung sekurang-kurangnya dua minggu bermakna bakal tamat pada 9 Februari, ianya bermakna pasukan Liga Super dan Liga Perdana cuma ada dua minggu melakukan persiapan untuk hadapi saingan liga.

Justeru, sekurang-kurangnya pasukan perlu diberi sebulan untuk tempoh mempersiapkan pasukan, sebab kita faham sewaktu PKP pasukan tidak boleh adakan sesi latihan.

Musim lepas menyaksikan saingan Liga M yang bermula pada akhir Februari terpaksa ditangguhkan hingga ke penghujung Ogos susulan larangan kerajaan sebagai usaha membendung penularan pandemik itu.

Disiarkan pada: January 16, 2021 @ 3:16pm
d