Bola Sepak

Futbolista: Mula sesuaikan diri bersama Azul Claro

Oleh Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun

Kali kedua menulis dari Jepun ini membuatkan saya rasa pembaca Harian Metro semua dekat dengan saya.

Saya maklum bahawa keadaan pandemik Covid-19 di Malaysia semakin teruk. Keadaan sama juga berlaku di sini di mana kes harian melebihi 5,000 kes.

Dalam keadaan ini, saya mengajak semua untuk sama-sama menjaga kesihatan diri dan orang yang kita sayang. Amalkan penjagaan kesihatan yang baik, elakkan keluar rumah jika tiada keperluan.

Secara peribadi saya mengamalkan 'Kubasmi' setiap hari iaitu, sentiasa berkumur, basuh tangan dan minum Yakult bagi meningkatkan ketahanan badan melawan penyakit.

Untuk makluman semua, Isnin lalu, saya melaporkan diri bersama pasukan baharu, Azul Claro Numazu yang terletak di daerah Numazu, Shizuoka.

Kelab ini diasaskan pada tahun 1990 dan kemudiannya pada tahun 2017 menyertai Liga Bola Sepak Divisyen 3 Jepun (J3).

Saya masih lagi dalam proses untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan dan ia bukanlah satu perkara sukar. Mereka di sini sangat baik dan sentiasa membantu saya dalam menyesuaikan diri.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pelajar Malaysia di Jepun yang menjadi rakan baik saya di sini. Bila bersama mereka, hilang sikit rasa rindu dekat kampung halaman.

Kami sempat menghabiskan masa bersama bermain salji yang turun ketika cuti baru-baru ini. Pengalaman ini mungkin takkan dapat di Malaysia, tetapi Malaysia tetap selalu di hati.

Saya sentiasa berdoa agar kesukaran kita ketika ini akan dipermudahkan dan semoga pandemik Covid 19 ini akan dapat hilang dalam masa terdekat.

Saya harap kita semua sentiasa kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan ini terutama mereka yang terbabit dengan sektor sukan.

Saya yakin dan percaya, pihak Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Belia dan Sukan akan sentiasa melakukan yang terbaik bagi menjadikan sektor sukan dapat beroperasi semula sedikit masa nanti.

Saya rasa itu sahajalah daripada saya untuk minggu ini, kita jumpa lagi dalam penulisan akan datang. Majulah sukan bola sepak untuk negara.

Terima kasih semua.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 12:10am
d