Bola Sepak

Rangka strategi hadapi keadaan luar jangka

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Sesetengah pasukan bola sepak di negara ini perlu bijak merangka strategi menghadapi situasi luar jangka susulan situasi pandemik Covid-19 yang membimbangkan.

Bekas pemain Olimpik 1980, Ramli Junit berkata, ia termasuk menangani situasi kontrak pemain bagi mengelak segelintir daripadanya tidak berkemampuan untuk menyelesaikan gaji pemain mengikut perjanjian memandangkan pandemik Covid- 19 yang masih berada pada tahap tidak menentu.

Menurutnya, dengan situasi pendemik yang membimbangkan sehingga mencatat rekod 4,029 kes semalam (Sabtu) menjadikan kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 155,095 jelas isyarat awal bahawa Liga Malaysia kemungkinan terpaksa di tunda daripada tarikh awal pada 26 Februari depan.

Katanya, dengan situasi berkenaan sudah pasti kantung persatuan menerusi kutipan tiket juga tidak dapat ditampung kerana bilangan penyokong tidak seperti semasa liga bersaing tanpa wabak berkenaan.

Malah kebanyakan penaja juga tidak seperti zaman mewah sebelum ini, berikutan kekangan ekonomi sepanjang pandemik berkenaan.

"Justeru sesetengah pasukan perlu memberi perhatian terhadap masalah gaji pemain supaya tidak menghadapi masalah terutama sebarang kemungkinan berlaku termasuk penundaan jadual, penangguhan atau pembatalan jika Covid -19 terus mengganas.

"Sementara itu, pemain juga perlu mengambil kira kemampuan pasukan mereka. Apa yang lebih penting perbincangan bersama majikan masing-masing perlu diperhalusi bagi menghadapi situasi luar jangkaan dalam tempoh mendatang," katanya.

Ramli berkata, apa yang paling utama kebajikan pemain sentiasa terjaga dan majikan pula tidak menghadapi sebarang kemungkinan tindakan dan hukuman daripada Liga Bola sepak Malaysia (MFL) mahupun Persatuan Bolasepak Antarabangsa FIFA.

Beliau berkata, situasi sama pernah di lalui ketika saingan liga 2020 baharu bermula namun ditangguh pada pertengahan Mac tahun lalu yang berhenti beberapa bulan selain tiada perlawanan dan gaji pemain perlu dibayar juga harus dijadikan pengajaran.

Baginya, apa yang penting pemain tidak teraniaya dan pasukan terutama di pentas M3 juga dilindungi daripada menjadi menjadi mangsa keadaan seperti pada tahun lalu selepas saingan terpaksa di tangguhkan.

Bekas jurulatih Melaka itu berkata, dia yakin pendekatan akan diambil malah perancangan dilakukan dengan teliti untuk memastikan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak menghadapi sebarang kemungkinan.

Apapun, Ramli berharap pandemik Covid-19 akan berakhir dan jadual liga akan berlangsung seperti perancangan walaupun pada pandangan kasar kemungkinan besar saingan terpaksa ditunda jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 26 Januari ini disambung semula.

Perlawanan pembukaan saingan Liga M 2021 dijadualkan membabitkan pertembungan di antara juara bertahan dan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah pada aksi Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari ini.

Disiarkan pada: January 17, 2021 @ 8:43pm
d