Bola Sepak

Selesai cara 'keluarga'

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: "Elok kita selesai cara keluarga." Begitu gesaan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi, dalam menyelesaikan isu salah faham di antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, dengan badan induk bola sepak negara itu dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung kedudukan kelab terbabit.

Malah, Yusoff juga berharap isu berkenaan tidak dipanjangkan hingga mengeruhkan keadaan sekali gus memberi tanggapan buruk kepada bola sepak negara.

"Orang macam Zamsaham tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit mereka sendiri dengan banyak.

Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai dan membantu industri bola sepak negara.

"Eloklah kita selesaikan salah faham ini dengan cara baik. Saya diberi mandat untuk menjemput Norizam berbincang dengan baik dalam tempoh terdekat ini."

Beliau berkata, kemelut itu berpunca daripada salah faham gara-gara laporan media yang tidak patut dibiarkan berpanjangan di saat industri bola sepak tempatan sedang bergelut dengan cabaran wabak Covid-19.

"Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak berselerak." katanya.

Sebelum ini, kecoh di media sosial, apabila Norizam mempersoalkan di mana bayaran hak penyiaran Liga M serta elaun pengadil yang belum dibayar.

Beliau turut mempersoalkan FAM mengeluarkan kenyataan Kelantan FC akan dipotong tiga mata dalam Liga Perdana musim ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

FAM bagaimanapun menafikan kenyataan itu, selain membidas pemilik Kelantan FC itu kerana 'menyerang' mereka tanpa memeriksa ketepatan laporan media.

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 12:38am
d