Bola Sepak

Inter kejutkan Juventus

Oleh AFP

Milan: Inter Milan mengejutkan juara bertahan, Juventus 2-0 hari ini untuk berkongsi mata dengan pendahulu Serie A, AC Milan sekali gus mencerahkan harapan mereka memenangi kejuaraan liga buat kali pertama sejak 2010.

Arturo Vidal menanduk masuk hantaran Nicolo Barella minit ke-12 untuk gol pertamanya bersama Inter pada saingan liga ketika bertemu bekas kelabnya itu.

Barella menambah gol kedua tujuh minit selepas babak kedua untuk Inter meraih kemenangan pertama ke atas Juventus sejak September 2016.

"Ia adalah kekalahan yang teruk. Kami tidak menjangkakannya dan tidak pernah mempamer aksi lebih buruk daripada ini," kata jurulatih Juventus, Andrea Pirlo mengulas kekalahan kedua pasukannya musim ini.

"Tahap disiplin permainan kami tidak bagus bermula daripada awal lagi. Kami nampak sangat pasif, bimbang dan hanya terus bertahan."

Inter berkongsi 40 mata dengan Milan yang akan berkunjung ke Cagliari hari ini dengan Juventus ketinggalan tujuh mata berbanding pendahulu untuk menduduki tempat kelima.

"Untuk memenangi perlawanan bertemu pasukan seperti Juventus anda perlu sempurna dari pelbagai sudut," kata jurulatih Inter, Antonio Conte.

"Saya gembira dengan prestasi pasukan kerana perlawanan ini memberi keyakinan diri dan membuatkan anda memahami bahawa kami berada di landasan yang tepat.

"Saya dapat melihat prestasi menakjubkan Inter dan rasa puas selepas bekerja keras selama satu tahun setengah."

Disiarkan pada: January 18, 2021 @ 10:10am
d