Bola Sepak

Jawatankuasa Pertandingan batalkan saingan B-19 AFC

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Kalendar pertandingan bagi 'ubi muda' negara untuk musim 2021 kemungkinan agak suram apabila jawatankuasa pertandingan Kejohanan Bawah-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memutuskan pertandingan yang akan berlangsung di Uzbekistan dibatalkan.

Malah, status membabitkan pertandingan lain terutama membabitkan skuad muda juga kemungkinan akan dibatalkan atas faktor keselamatan berikutan penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata, keputusan membabitkan jawatankuasa pertandingan itu akan dibawa kepada mesyuarat exco yang akan dimuktamadkan pada 25 Januari nanti.

Beliau berkata, keputusan membatalkan kejohanan terbabit oleh jawatankuasa pertandingan berikutan pembatalan Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) selain turut terdapat kesukaran yang terpaksa dilalui pasukan apabila menyertai kejohanan itu.

"Setakat ini, keputusan jawatankuasa pertandingan mahu membatalkan kejohanan berkenaan berikutan menghadapi beberapa masalah termasuk kemungkinan ada pasukan menarik diri.

"Walaupun, jawatankuasa sudah membuat keputusan itu namun perkara terbabit akan dimuktamadkan pada mesyuarat exco pula.

"Kita kena akui mungkin agak suram kalendar 2021 kerana pada mesyuarat exco juga akan menentukan nasib pertandingan membabitkan Bawah 15 dan skuad pembangunan," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan jawatankuasa pertandingan AFC akan bersidang tidak lama lagi bagi menilai, mengkaji dan mendapatkan maklum balas pasukan bertanding mengenai saingan itu.

Segala aspek akan diambil kira terutamanya soal pandemik Covid-19 yang dilihat masih menular dan aktif dikebanyakan negara Asia.

Malah, keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan Piala Dunia B-20 di Indonesia pada tahun depan juga akan diambil kira kerana saingan di Uzbekistan turut menawarkan empat tiket ke pentas Piala Dunia.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 12:42am
d