Bola Sepak

Man United pamer peningkatan ketara

Oleh AFP

London: Kapten Manchester United, Harry Maguire memuji peningkatan ketara sepanjang 18 bulan dia bersama kelab itu namun mengakui banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memenangi kejuaraan utama.

United melebarkan rekod tanpa kalah pada saingan liga kepada 12 perlawanan dan tanpa kalah di tempat lawan sepanjang 16 perlawanan dengan terbaharu seri tanpa jaringan ketika bertemu Liverpool di Anfield, semalam.

Sebanyak 33 mata membezakan antara United dengan Liverpool yang merangkul kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun pada musim lalu.

"Anda dapat lihat betapa besar peningkatan yang dipamerkan oleh kami sejak saya tiba di sini," kata Maguire yang menyertai United dari Leicester pada Ogos 2019.

"Sebagai sebuah pasukan, kami kini berada pada prestasi terbaik tetapi banyak lagi yang perlu dibaiki untuk memenuhi apa yang diimpikan.

"Kami mahu memenangi perlawanan dan mengekalkan momentum tanpa mencatatkan kekalahan terutama apabila beraksi di tempat lawan."

Kali terakhir United tewas pada aksi domestik di tempat lawan adalah di Anfield setahun lalu yang menyaksikan mereka mengalami kekalahan 0-2.

Ole Gunnar Solskjaer mengakui barisan pemainnya tidak mempamerkan prestasi terbaik tetapi mereka menunjukkan kematangan dengan menyekat kemaraan Liverpool.

Malah United berpeluang untuk mencatatkan kemenangan namun cubaan Bruno Fernandes dan Paul Pogba dinafikan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Disiarkan pada: January 19, 2021 @ 7:54am
d