Bola Sepak

Gol sendiri ranap harapan Parma

Oleh AFP

Milan: Gol sendiri penjaga gol Parma, Simone Colombi di lewat permainan membantu Lazio untuk mara ke suku akhir Piala Itali selepas mencatat kemenangan 2-1 di Rome.

Pemain tengah Lazio, Marco Parolo menyudahkan hantaran lintang lencong Andreas Pereira pada minit ke-23 dalam aksi 16 terakhir.

Bagaimanapun, Parma berjaya memberi tentangan dengan Valentin Mihaila menyamakan kedudukan buat pelawat tatkala aksi berbaki tujuh minit di Stadium Olimpico.

Ketika perlawanan dilihat seakan diheret ke masa tambahan, Vedat Muriqi menanduk bola pada minit ke-90 dengan bola terkena palang sebelum melantun mengenai Colombi sebelum masuk ke dalam gawang.

Kali terakhir Lazio muncul juara pada 2019 dan mereka akan berdepan Atalanta di Bergamo untuk mencari slot ke separuh akhir.

"Kami beraksi baik pada separuh masa pertama, mencipta peluang dan melakukan percubaan yang mengenai palang sebanyak dua kali.

"Bagaimanapun, kami tidak melakukan perkara sama pada separuh masa kedua dan melepaskan gol disebabkan kesilapan sendiri.

"Agak bernasib baik Muriqi berjaya menghadirkan jaringan dan membawa kami ke suku akhir dengan penuh yakin," kata jurulatih Lazio, Simone Inzaghi.

Jurulatih Parma, Roberto D'Aversa membariskan skuad muda, tatkala kebanyakan tonggak utamanya berdepan masalah kecergasan.

"Ia sangat merugikan selepas pemain saya sudah memberikan aksi terbaik. Kami tidak menyerah kalah," katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2021 @ 8:18am
d