Bola Sepak

Alli cedera bukan berpindah - Mourinho

Oleh AFP

London: Jurulatih Tottenham Hotspur, Jose Mourinho berkata ketiadaan Dele Alli pada aksi hujung minggu lalu ketika menentang Sheffield United adalah disebabkan kecederaan bukannya mempunyai kaitan dengan perpindahan.

Pemain berusia 24 tahun itu dikatakan akan meninggalkan kelab London utara itu selepas gagal mendapat tempat di bawah bimbingan Mourinho.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Portugal itu berkata, Alli tidak bersama skuad ke Bramall Lane kerana mengalami kecederaan tendon sekali gus bakal memberi kesukaran untuk pemain antarabangsa England itu terbabit dalam aksi pusingan keempat Piala FA berdepan Wycombe Selasa depan.

"Alasan dia tidak bermain atau terpilih untuk aksi menentang Sheffield, dengan semuanya membabitkan kecederaan yang dialaminya,

"Ia bukan kecederaan yang kita tidak turunkan dia dalam tempoh beberapa minggu seperti Gio (Lo Celso) tapi ia adalah kecederaan yang tidak membolehkan dia untuk berlatih sepenuhnya bersama pasukan dan sama seperti beberapa hari lalu, dia tidak dapat turun menyertai latihan. Itu situasi yang dihadapi sekarang," kata Mourinho.

Mourinho juga ditanya mengenai laporan mengaitkan Alli dengan bekas pengendali Spurs, Mauricio Pochettino di Paris Saint Germain.

Bagaimanapun, beliau hanya bersedia untuk bercakap mengenai masa depan Gedson Fernandes.

Pemain skuad Portugal Bawah 21 tahun itu sudah 18 bulan dipinjamkan dari Benfica namun hanya melakukan dua penampilan musim ini, juga tidak berada dalam senarai skuad Liga Europa.

"Kita tidak berbincang dengan kelab lain kerana pemain ini bukan kepunyaan kita, kita hanya berbincang dengan Benfica.

"Sejak dari itu kita merasakan tidak akan berikan Gedson untuk bermain banyak perlawaan dan dikeluarkan dari senarai Liga Europa, di mana kami merasakan tidak mempunyai hak untuk menyimpannya," kata Mourinho.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 8:07am
d