Bola Sepak

Neymar ledak gol dalam penampilan ke-100

Oleh AFP

Paris: Neymar melakukan penampilan ke-100 bersama Paris Saint-Germain (PSG) dan meraikan detik indah dengan meledak jaringan ketika mencatat kemenangan 4-0 ke atas Montpellier yang beraksi dengan 10 pemain.

Turut meledak jaringan buat pasukan bimbingan Mauricio Pochettino ialah Kylian Mbappe (dua gol) dan Mauro Icardi sekali gus mengukuhkan kedudukan PSG di tangga teratas Ligue 1.

Aksi yang berlangsung tanpa penonton di Parc des Princes itu menyaksikan penjaga gol Monntpellier, Jonas Omlin diperintah keluar padang pada awal saingan selepas mengasari Mbappe dan PSG menggunakan kesempatan berkenaan dengan baik sekali.

Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut PSG sejak seri di Saint Etienne iaitu aksi sulung Pochettino yang dilantik menjadi jurulatih pada 2 Januari lalu.

"Saya berasa seronok. Saya gembira dapat kembali ke sini," kata Pochettino.

PSG sekarang tiga mata mengatasi pasukan di tangga kedua, Lille yang akan berdepan Rennes awal pagi Isnin.

Lyon di tangga ketiga dengan lima mata di belakang pendahulu liga dan akan berkunjung ke Saint Etienne yang kehilangan tujuh pemain selepas disahkan positif Covid-19.

Gol yang disumbang Neymar adalah jaringan ke-81 dalam 100 penampilan buat PSG sejak berpindah dari Barcelona pada Ogos 2017.

Disiarkan pada: January 23, 2021 @ 11:15am
d