Bola Sepak

Konate dirantai setahun TFC

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kuota pemain import Terengganu FC (TFC) lengkap apabila skuad itu sah mengikat pemain kelahiran Mali, Makan Konate untuk memperkuatkan pasukan itu musim ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan media rasmi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd sebentar tadi, pemain tengah berusia 30 tahun yang juga bekas kapten pasukan Persebaya Surabaya dalam Liga Indonesia diikat kontrak selama setahun bersama pasukan itu.

"Terengganu FC hari ini menamatkan khabar angin yang berlegar dalam kalangan peminat dengan mengesahkan kehadiran Konate bersama TFC dengan kontrak selama setahun bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) 2021 yang sekali gus melengkapkan kuota pemain import kelima.

"Konate nama yang tidak asing bagi peminat bola sepak di Terengganu menerusi penampilan sulung bersama pasukan kelab T-Team pada tahun 2016 hingga 2017 gembira dan teruja untuk sekali lagi hadir di bumi Sang Penyu bersama seorang lagi rakan sepasukannya dalam kelab Persebaya Surabaya, David Da Silva.

"Kami berkeyakinan gandingan dua pemain ini mampu membantu pasukan dalam saingan liga serta Piala AFC dan kini menunggu lampu hijau daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk kembali ke padang latihan mengikut garis panduan latihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19 seperti yang disarankan oleh badan penganjur pertandingan Liga Malaysia itu," demikian menurut kenyataan berkenaan.

Konate yang bakal mengisi posisi yang ditinggalkan Lee Tuck akan memakai jersi bernombor 10 yang disifatkan amat dekat dengan dirinya bersempena dengan bulan kelahirannya.

Pemain berketinggian 1.78 meter yang memulakan karier bersama kelab Stade Malien dalam Liga Mali juga berkemampuan meledak gol sebagaimana dibuktikan ketika menjaringkan 29 gol sepanjang 51 penampilan bersama kelab Arema juga dalam Liga Indonesia pada 2018-2019.

Selain Konate dan Da Silva, TFC sudah menyambar tiga lagi import termasuk bekas pemain kelab Aston Villa yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Christopher Herd dari Australia, kapten Namibia, Petrus Shitembi dan pemain kacukan Filipina-Sepanyol, Carli De Murga.

Disiarkan pada: January 27, 2021 @ 12:55pm
d